Thursday 3 November 2011

VIDEO: Loji kumbahan baru bakal hilangkan bau busuk Pantai Dalam


Sesiapa yang pernah tinggal di Pantai Dalam atau melalui kawasan ini ketika hujan sudah tentu pernah terhidu bau busuk yang datang dari loji memproses kumbahan yang tersergam di sebelah Lebuhraya Pantai.

Semalam, kita mendapat berita gembira apabila projek menggantikan loji kumbahan terbuka di Pantai Dalam akhirnya bermula dengan acara menandatangani perjanjian pembinaan moden bawah tanah.

Acara tersebut berlangsung di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, di Bangsar.

Projek yang bergelar Pantai 2 Sewage Treatment Plant tersebut akan mula dibina sebelum berakhir tahun ini dan ia dijangka siap dalam masa 4 tahun lagi.

Apabila siap kelak P2STP akan mampu memproses kumbahan dari 1.432 juta manusia setiap hari dan ini menggantikan sistem kumbahan terbuka yang mampu memproses kumbahan dari 600,000 manusia.





Dengan meletakkan loji kumbahan di bawah tanah, kawasan yang kini kolam terbuka akan digantikan dengan taman permainan, padang bola, gelanggang tenis, bola keranjang dan sepak takraw serta lapangan futsal, dewan komuniti, taman permainan kanak kanak dan laluan jogging.

Loji baru ini akan menggunakan sistem rawatan 'Advanced A2O' yang mampu merawat kumbahan dengan lebih efektif dan ini akan membolehkan air lelehan dari loji ke Sungai Kelang menjadi lebih bersih.

Menurut video yang tertera di bawah, air lelhan dari loji akan dinyahkuman dengan menggunakan sistem ultra violet.



Air lelehan juga akan dikitar semula oleh loji untuk sistem pendingin udara, kegunaan menyiram taman dan juga kolam hiasan ikan.

Teknologi janakuasa menggunakan biogas juga akan digunakan untuk menjana elektrik yang akan digunakan di loji baru ini.

Teknologi tinggi yang digunakan di loji PSTP datang dari Cina melalui syarikat Beijing Enterprises Water Group, yang dicalonkan oleh kerajaan negara tersebut dalam satu perjanjian Kerajaan-dan-Kerajaan (Government-to-Government).

BEWG merupakan syarikat kedua paling penting dalam papan utama bursa Hong Kong dalam industri rawatan air dan kumbahan, ia telah membina dan sedang mengendalikan 70 loji rawatan air dan kumbahan di Cina.



No comments:

Post a Comment