Wednesday, 21 September 2011
Adakah nasib Kampung Bharu akan terjaga?
Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) bakal dibentang tak lama lagi
Nota: Pantai Dalam juga akan menghadapi nasib yang sama di masa depan, sebuah kawasan Melayu yang akan direbut untuk pembangunan, jadi elok lah kita perhati dan belajar dari episod Kampung Bharu ini
Parlimen Malaysia akan kembali bersidang mulai 3 Oktober 2011 sehingga 1 Disember 2011. Seperti biasa sidang Parlimen kali ini akan menjadi tumpuan khasnya kerana Menteri Kewangan Malaysia merangkap Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2012.
Dalam keasyikan rakyat ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu apakah bentuk Belanjawan yang akan dibentangkan nanti, suatu pihak yang lain tidak boleh leka dan alpa dengan nasib mereka. Pihak yang dimaksudkan ini ialah para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu Kuala Lumpur.
Sidang Parlimen kali ini merupakan sidang keempat di mana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) hendak dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat. Bermula niat Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) membentangkan RUU PPKB 2010 untuk bacaan kali pertama pada sidang Disember 2010 hingga sidang Oktober nanti, RUU PPKB 2010 ini menjadi gunting dalam lipatan kepada para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu. Mereka sentiasa dalam dilema atas status tanah mereka samada akan diambil alih oleh Kerajaan atas tujuan pembangunan semula atau sebaliknya.
Sejak dibacakan kali pertama pada Disember 2010, RUU PPKB 2010 ini telah mendapat tentangan hebat daripada para pemilik dan pewaris tanah. Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Titiwangsa di bawah naungan Ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu Allahyarhamuha Dr. Lo’lo’ Hj Ghazali (gambar kanan) dengan penuh tanggungjawab telah menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) yang bertujuan mengkaji, membantu dan memberikan penerangan kepada pemilik dan pewaris tanah. Sebanyak enam program taklimat telah berjaya diadakan. Salinan RUU PPKB 2010 telah diedarkan kepada para pemilik dan pewaris tanah. Penerangan demi penerangan telah membuka mata mereka tentang beberapa peruntukan RUU PPKB 2010 yang jelas rakus dan tidak menghormati hak pemilik dan pewaris tanah.
Antaranya Keanggotaan Perbadanan yang semuanya dilantik oleh Menteri. Majlis Penasihat yang ditubuhkan juga tidak mempunyai sebarang kuasa kerana nasihat Majlis ini tidak mengikat Perbadanan. Malah anggota Majlis Penasihat juga adalah lantikan Menteri. Kuasa Perbadanan yang tidak terhad sehinggakan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah. Yang paling tidak dapat diterima ialah pembubaran Enakmen Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement Rules 1950
Ekoran tentangan hebat tersebut, cadangan bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Mac 2011 telah ditangguh ke sidang Jun 2011. Dalam masa yang sama Kementerian telah cuba berlembut dengan memberikan pelbagai kata-kata dan janji manis kepada para pemilik dan pewaris tanah. RUU PPKB 2010 yang asal yang dibentangkan telah ditolak oleh para pemilik dan pewaris tanah. Mereka dengan jelas mengambil tindakan menolak RUU PPKB 2010 tersebut dengan menaikkan kain-kain rentang menyatakan hasrat hati mereka. Hasilnya Kementerian terpaksa memanggil NGO-NGO yang berkepentingan untuk mengolah semula RUU PPKB 2010 untuk disesuaikan dengan hasrat para pemilik dan pewaris tanah. Hasilnya Kementerian telah mengeluarkan suatu deraf pindaan kepada RUU PPKB 2010.
Penelitian terhadap deraf pindaan tersebut amat jelas menunjukkan KWPKB cuba memanipulasi para pemilik dan pewaris tanah. KWPKB nampaknya cuba berkomplot dengan beberapa NGO yang kononnya berkepentingan di Kg. Bharu sedangkan mereka hanya mempunyai kepentingan peribadi semata-mata. Deraf pindaan RUU PPKB 2010 tidak meminda RUU PPKB 2010 yang asal sebaliknya hanya bercadang dipinda di peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat. Ini bermaksud cadangan pindaan tersebut hanya akan dibuat setelah RUU PPKB 2010 yang asal telah dibahas dan diluluskan. Setelah diluluskan pada bacaan kedua dan ketiga maka semasa peringkat Jawatankuasa pindaan tersebut boleh tidak dibentangkan. Apa jaminan cadangan pindaan tersebut akan dibuat? TIADA. Selain daripada cadangan di peringkat Jawatankuasa, cadangan pindaan juga tidak menyeluruh dan masih mempunyai peruntukan-peruntukan yang tidak mengambilkira hak dan kepentingan pemilik dan pewaris tanah.
Keanggotaan Perbadanan masih atas lantikan penuh Menteri. Perbadanan juga masih bertanggungjawab kepada Menteri. Akta Pengambilan Tanah 1960 masih boleh digunapakai dalam proses pengambilan tanah. Nasihat Majlis Penasihat hanya akan diambilkira jika bersesuaian. Malah cadangan pindaan tersebut juga menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penambahbaikan. Peruntukkan pembubaran Lembaga Pentadbiran MAS dan enakmen Mas dicadangkan ditarikbalik. Cadangan ini jelas akan menimbulkan konflik di Kg. Bharu kerana akan mewujudkan dua entiti pentadbiran yang mempunyai fungsi yang sama. Kenapa perlu Perbadanan jika Lembaga Pentadbiran MAS mempunyai kuasa yang sama malah sudah berpengalaman mentadbir Kg. Bharu selama 111 tahun?
Jun 2011 Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Lembaga MAS dan NGO-NGO telah mengadakan siri penerangan kepada para pemilik dan pewaris tanah berkaitan cadangan pindaan tersebut. Dalam program-program penerangan tersebut juga, Kementerian telah mengedarkan “borang” yang kononnya akan dijadikan “referendum rakyat” yang akan menentukan samada RUU PPKB 2010 akan diteruskan atau sebaliknya. Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin juga dengan konsisten menyatakan pada 11 Jun 2011 selepas Persidangan Perwakilan UMNO Titiwangsa bahawa hasil referendum tersebut akan menjadi penanda aras samada RUU PPKB 2010 akan diteruskan atau sebaliknya. Hasil referendum akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan seterusnya. Setiausaha Lembaga Pentadbiran MAS, Shamsuri Suradi juga menyatakan hal yang sama malah memaklumkan bahawa sehingga akhir Jun 2011 hanya sekitar 30% borang referendum yang diterima daripada pemilik dan pewaris tanah. 30% tersebut tidak dinyatakan setuju atau membantah.
Terbaru pada 17 September 2011 Menteri Wilayah Persekutuan Senator Raja Nong Chik (gambar kanan) telah mengeluarkan kenyataan semasa Majlis Sambutan Merdeka Raya UMNO Titiwangsa di Kg. Bharu bahawa RUU PPKB 2010 akan diteruskan bacaan kedua semasa sesi Parlimen Oktober 2011. Kenyataan ini jelas menunjukkan sikap tidak amanah, mungkir janji, angkuh, bongkak dan penuh manipulasi. Suatu ketika mereka berjanji akan mengikut majoriti, mengikut hasil referendum dan mengambilkira suara pemilik tanah. Sekarang mereka sudah tidak kenal siapa asalkan matlamat asal mereka tercapai. Matlamatnya tanah Kg. Bharu hendaklah dibangunkan mengikut citarasa mereka atas kepentingan mereka. Mana hasil referendum? Apakah keputusan referendum? Adakah majoriti bersetuju atau sebaliknya? Adakah hasil referendum dibentangkan kepada pemilik tanah dan seterusnya kepada Jemaah Menteri? Apakah pula keputusan Jemaah Menteri hasil referendum pemilik dan pewaris tanah? Semua 4000 pemilik dan pewaris tanah tertunggu-tungu apakah keputusannya.
Kg. Bharu Kuala Lumpur merupakan satu-satunya tanah milik orang Melayu di tengah kepesatan segitiga emas Kuala Lumpur. Para pemilik dan pewaris tanah tidak menolak pembangunan tanah mereka tetapi setiap perancangan dan pembangunan hendaklah mengambilkira hak dan kepentingan mereka bukannya orang lain. Mereka mahu hak mereka sebagai pemilik dan pewaris tanah tersebut dipertahankan.
Pembinaan Projek MRT yang melibatkan pengambilan tanah secara besar-besaran baru-baru ini jelas menunjukkan bagaimana Kerajaan berurusan dan melayan pihak-pihak yang berkepentingan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengendalikan Projek MRT telah mengambil keputusan untuk mengambil alih tanah di sekitar Jalan Sultan untuk tujuan pembinaan MRT tersebut. Keputusan itu telah mendapat bantahan keras daripada pemilik bangunan dan peniaga-peniaga di sekitar Jalan Sultan dan Jalan Petaling atas alasan pembinaan boleh menghakis dan memupuskan bangunan warisan sejarah dan tempat pelancongan. Hasil bantahan mereka SPAD telah berlembut dan berjanji tidak akan mengambil alih secara total.
Cuba bandingkan kejadian di Jalan Sultan dengan cadangan pembangunan Kg. Bharu. Jelas terdapat dua layanan berbeza ke atas rakyat berkepentingan. Atas desakan dan bantahan segolongan di sana (Jalan Sultan) Kerajaan berlembut dan mengundur setapak tetapi atas desakan dan bantahan di sini (Kg. Bharu) Kerajaan tidak endah! DI SANA PERTAHAN DI SINI REMBAT!
*Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang, Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu, Pusat Khidmat wakil Rakyat Parlimen P119 Titiwangsa.
Labels:
kampung bharu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment